BATU GAJAH: Pas Perak tidak mempunyai masalah sekiranya berdepan dengan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam merebut kerusi majoriti pengundi Melayu dan pinggir bandar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata malah gabungan itu bakal menghadapi kesukaran untuk memperoleh jumlah undi yang banyak apabila berhadapan dengan mana-mana parti Melayu terbesar seperti Pas.

“Parti Melayu yang terbesar ini termasuk UMNO, Pas, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Parti lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun tidak akan dapat ramai (pengundi Melayu).

“Tambahan pula GTA ini yang mana mereka cuba nak menggabungkan beberapa parti kecil yang mana mereka terpaksa berbuat demikian (untuk bertanding dalam PRU15).

“Malah saya berpandangan, mereka tidak akan dapat lebih daripada 10 peratus undi pun daripada pengundi Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pengukuhan Keselamatan di Air Komuniti Perikanan (myKP) Negeri di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Utara, Tronoh, di sini, pada Khamis.

Razman sebelum itu diminta mengulas berkenaan hasrat GTA yang menyasarkan kerusi majoriti Melayu dan pinggir bandar untuk ditandingi pada PRU15.

Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilaporkan berkata sasaran awal adalah untuk meletakkan calon berpotensi boleh menang di 120 kerusi terpilih bagi Parlimen, manakala jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih dalam perbincangan.

Pada PRU14, daripada 58 kawasan DUN yang dipertandingkan di Perak, Pas memenangi tiga kerusi iaitu Gunung Semanggol, Selama dan Kubu Gajah yang kesemuanya majoriti besar pengundi Melayu.

Sementara itu, daripada  21 kawasan Parlimen yang dipertandingkan di negeri sama pula, tiada satu kerusi yang berjaya dimenangi.